Saya agak tertarik dengan tajuk forum perdana yang telah dibincangkan yang telahpun berakhir sebentar tadi di RTM1 dengan tajuk yang dikupas iaitu "Anak Nakal". Perbincangan ini sebenarnya banyak memberikan input kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya terutamanya di kalangan ibu bapa. Tidak dinafikan bahawa semua ibu bapa menginginkan zuriat yang soleh dan solehah sehinggalah mereka meningkat dewasa kelak.

Antara yang dikupas oleh Tan Sri Dr. Haji Harussani bin Haji Zakaria ialah mendidik anak hendaklah bermula sejak dari dalam kandungan ibu lagi. Beliau menyarankan berdasarkan kepada tuntutan agama dan sunnah Rasulullah s.
a.w. agar ibu yang mengandung hendaklah sentiasa mengamalkan membaca surah-surah tertentu seperti Surah Maryam dan Surah Yusuf. Selain itu juga, para ibu tersebut hendaklah menjaga tutur kata, emosi serta tingkah laku diri masing-masing. Maka apabila anak tersebut lahir ke dunia maka tanggungjawab ibubapalah yang mendidiknya.


Turut dibincangkan juga oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato' Hj. Alimuddin Bin Hj. Mohd Dom ialah sikap segelintir ibu bapa yang menyerahkan sepenuhnya anak-anak kepada guru-guru di sekolah. Ibu bapa hendaklah memahami bahawa tugas dan tanggungjawab seorang guru ialah untuk mendidik anak-anak dan memberikan tunjuk ajar serta ilmu yang bermanfaat kepada anak didiknya. Oleh itu guru tidak dapat memberikan perhatian kepada setiap individu yang dididiknya melainkan dengan teguran secara umum, nasihat serta rujukan kepada guru kaunseling sekiranya murid tersebut bermasalah. Kita tidak menafikan bahawa pada zaman duhulu ibu bapa menyerahkan kuasa kepada guru dengan pesanan ajarlah anak saya dan rotanlah dia jika melakukan kesalahan, tetapi zaman sekarang tidak lagi begitu malahan guru yang dikenakan tindakan sekiranya melakukan sedemikian. Jadi sewajarnya tanggungjawab ibubapalah yang menentukan masa depan serta membentuk tingkah laku anak-anak mereka. Adakalanya kecuaian serta kelalaian ibubapa boleh menyebabkan anak-anak hilang kawalan serta tidak lagi menghormati mereka sendiri apatahlagi untuk menghormati orang lain.

Apa yang turut dikesalkan ialah anak-anak remaja kini yang merempit dan terjebak dalam gejala-gejala sosial yang kian membimbangkan.mMenurut Ketua polis Trafik Malaysia mereka yang terlibat dalam gejala ini adalah anak-anak remaja. Sewajarnya ketika berada di rumah ibubapa sepatutnya mengambil berat ke mana arah tujuan anak-anak mereka. Sikap sambil lewa ini merugikan ibubapa dan juga negara kerana remaja adalah harapan negara, agama dan bangsa.

Perbincangan ini sebenarnya banyak memberikan kesedaran terhadap tanggungjawab ibubapa dalam memberi didikan kepada anak-anak mereka. Ini adalah bersesuaian dengan hadith yang bermaksud:

Dari Aisyah r.a katanya: ”Seorang wanita datang kepadaku membawa dua orang anaknya, meminta makanan. Tetapi tiada apa yang boleh didapatinya daripadaku ketika itu selain daripada sebiji kurma, lalu kuberikan kepadanya. Kurma itu dibahagi dua dan diberikannya kepada kedua anaknya itu, dan ia sendiri tidak memakannya. Kemudian ia berdiri dan terus pergi. Setelah nabi s.a.w datang, aku ceritakan hal itu kepada baginda. Sabda Baginda s.a.w, “Sesiapa mendapat cubaan kerana beberapa anak daripadanya, maka semuanya itu akan menjadi dinding baginya daripada api neraka.”

(Riwayat Bukhari)


Oleh itu bersamalah kita muhasabah diri dan berdoa agar kita dapat melaksanakan tanggungjawab dan ingatlah bahawa setiap ujian itu datangnya daripada Allah dan segala kelemahan adalah datangnya daripada kita sebagai hambanya...








Posted by sitiaminahyaman on Thursday, December 10, 2009
categories: | edit post

0 comments

Post a Comment

...Selamat Datang! Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum...

Salam

Rasulullah (Hijjaz)

Muallim (Sami Yusuf)

Jam

Ziarah

My Family

My Family

Followers